Kadang kita lebih kenal diri kita bila sendiri.. :)

Pages

Saturday, July 23, 2016

Puisi Dingin Sahara (Prolog)

Kuhirup udara angin segar,
Kaki kembali menjejak bandara
Setelah bertahun pergi,
Bertemu lagi jelapang padi,
Disini tidak sesibuk kotaraya,
Tapi aku masih enggan pulang,
Kerana tiada tangan yang merangkul,
Tiada mata atau senyum yang menyambutku pulang
Aku tiada siapa-siapa.


     Zahirnya berat untuk kembali ke rumah usang yang sudah lama dibiarkan. Pintu kayu dikuak, hati masih mengharapkan salam disahut. Berat, itulah yang dirasakan sarat memenuhi hati. Tercegat dihadapan pintu melihat ruang yang masih sama. Seperti kelihatan ibu duduk di kerusi malas berwarna biru di penjuru rumah sambil melihat sinetron kesukaannya setiap petang. Masih terbayang kelibat ayah bersama sigup tembakaunya duduk di anjung rumah bersama pukat dan bubu. Begitu cepat semuanya direntap dari diri yang sudah sememangnya serba serbi tidak memiliki ini. Air mata dihujung mata diseka sebelum sempat membasahi pipi.

     Hafiy mengeluh kecil tatkala kotak memori digoncang sejarah lalu. Apa salahnya dan silapnya? Kaki melangkah menuju ke bilik kecil di hujung rumah, tempat yang banyak menyimpan memori karya hidupnya. Kalau bukan kerana Pak Long Andak yang beriya ingin membeli tanah pusaka ini, dia tidak akan pulang. Keluhan demi keluhan tanpa sedar merobek hatinya. Petang ini dia harus bertemu Pak Long Andak untuk menyelesaikan masalah ini. Mana mungkin tanah ini dijual. Rumah ini milik ibu dan ayah dibina dari setiap titik peluh ayah mengambil upah membaiki sampan dan menjual ikan di pasar. Ia terbina atas kasih ibu merapikan dan memberi keselesaan, kesungguhan ibu mengambil upah menjahit baju dan jualan nasi lemak kerangnya setiap pagi sejak Hafiy kecil. 

     Usai solat Asar kunci kereta dicapai. Rumah Pak Long Andak di hujung kampung yang dahulunya rumah kayu setingkat kini seperti banglo dua tingkat yang mewah. Pasti perniagaannya semakin maju. Hafiy menekan loceng rumah dan pagar automatik terbuka. Seorang wanita bertudung litup menyambut dihadapan pintu tersenyum melihatnya dan segera memanggil abahnya. Hafiy masih kenal wajah itu, Sarah anak angkat Pak Long Andak. Dia sudah banyak berubah, tidak lagi berseluar pendek, rambut kusut dan muka comot seperti dia dahulu. Pak Long Andak datang menyambut Hafiy dengan gembira. 

"Allahu Hafiy, Pak Long tak percaya Hafiy dah balik. Bila sampai? Mari masuk kedalam." Sambut Pak Long Andak. 

"Hafiy sampai tengahari tadi, lepas kemas barang terus kesini. Ada hal yang Hafiy nak cakap dengan Pak Long." Balas Hafiy lembut.

Bersambung...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...